Tuesday, 17 March 2020

KESAN DAN CABARAN DUNIA SIBER DALAM PEMBENTUKAN AKHLAK MASYARAKAT


PENDAHULUAN:

     Pada era globalisasi ini, dunia banyak mencetuskan perubahan dalam menghayati kehidupan selepas arus pasca permodenan. Gaya kehidupan harian kita banyak berorientasikan teknologi dan kemajuan maklumat memberikan kesan dan cabaran terhadap nilai, budaya, permikiran dan corak kehidupan yang berkiblatkan adat, tatasusila ketimuran dan penghayatan agama. Dunia kini berubah dengan amat pantas hasil daripada ledakan teknologi maklumat. Setiap hari pelbagai ciptaan baharu yang terhasil dari inovasi teknologi. Melalui teknologi maklumat, batasan sempadan antara negara telah berjaya dihapuskan malah ia berjaya merubah bentuk pemikiran, ideologi, budaya dan pelbagai elemen luar memasuki ruang negara lain tanpa sekatan dan kawalan.

     Kertas kerja saya dalam tugasan ini akan mempamerkan inisiatif dan kerjasama yang baik dalam menyelesaikan tugasan tentang kesan dan cabaran dunia siber dalam pembentukan akhlak masyarakat pada masa ini.


DEFINISI:

     Menurut Kamus Dewan , Siber   berkaitan dgn komputer atau Internet: Ibu bapa menghadapi cabaran utk mendidik anak dalam dunia ini. (Kamus Pelajar Edisi Kedua)

     Akhlak menurut Ibn Miskawayh ialah sesuatu situasi yang terbentuk dalam diri seseorang manusia dan ia berfungsi sebagai kuasa eksekutif yang mengarah orang tersebut melakukan semua perbuatannya.

    Istilah dunia siber atau ‘cyberworld’ pertama kali digunakan oleh William Gibson seorang penulis sains fiksyen dalam bukunya yang bertajuk Neuromancer(1984), yang mana beliau gambarkan sebagai “suatu istilah tekno dan menggugat perasaan tetapi pada dasarnya tidak bermakna, yang berfungsi sebagai kata laluan untuk semua idea sibernatiknya.” Kini, isitilah ini menjadi suatu perkataan yang sangat biasa dan digunakan dengan meluas untuk menggambarkan segala sesuatu berkaitan dengan komputer, teknologi maklumat, internet dan pelbagai budaya internet. Secara mudahnya, ia merujuk kepada dunia atas talian, iaitu suatu tempat yang benar-benar wujud, walaupun sebagai media komunikasi berbanding suatu galaksi lain

    Secara keseluruhannya , definisi tajuk kertas ini ialah melihat  sejauh mana kesan dan cabaran yang dihadapi oleh kelompok masyarakat dalam menongkah arus kemodenan dunia komputer dan internet yang mana terdapat kesan positif dan juga negatif.


CABARAN DAN KESAN DUNIA SIBER DALAM PEMBENTUKAN MASYARAKAT

     Jika dilihat dari sudut yang negatif, banyak cabaran yang perlu ditempuhi oleh golongan remaja terutamanya isu yang berkaitan dengan gejala sosial yang melibatkan penggunaan siber. Lebih-lebih lagi dengan perkembangan arus semasa, kebanyakan golongan remaja menggunakan siber untuk menjalinkan hubungan sosial seperti menerusi laman web Facebook, Twitter, Friendster dan lain-lain lagi yang menawarkan pelbagai tawaran serta perkhidmatan yang menarik dan menyeronokkan yang sememangnya menarik minat para remaja untuk menyertainya.


ANTARA CABARANNYA IALAH :

1.     KESAHIHAN MAKLUMAT.

Maklumat yang tepat dan benar kesahihannya adalah penting bagi menjamin tidak berlaku penyelewengan dan kepalsuan fakta. Terutama sekali dalam soal ilmu keagamaan yang perlu dipastikan kebenarannya. Pihak yang tidak bertanggungjawab sentiasa mencari jalan bagi menyeleweng dan melakukan dusta bagi tujuan menyesatkan orang lain. Hal ini memberi cabaran terhadap proses tradisonal dalam mendapatkan maklumat yang sahih. Misalnya dengan hanya merujuk kepada bahan dari internet seperti al-Quran kemungkinan berlaku kesalahan fakta seperti ayat dari versi Israeliyat. Oleh itu seseorang perlu merujuk kepada sumber asal bagi mengesahkan maklumat dan mengelakkan kekeliruan. Kesan yang nyata dari amalan ini ialah ramai pencari maklumat mudah mempercayai bahan yang diperolehi dari internet.

2.     PERMASALAHAN REMAJA

Minat remaja terhadap ICT terutama teknologi internet dan alat komunikasi mendorong mereka menghabiskan masa di cyber café, internet café dan telefon tangan. Program seperti chatting, permainan video, sms, mms, 3G dan berbagai aktiviti melaluinya membawa kesan dan cabaran tersendiri. Kegilaan anak remaja ini memberi cabaran kepada ibubapa mereka. Ramai pelajar yang ponteng sekolah, menyalahgunakan wang saku, meminjam wang teman bahkan ada yang sanggup menipu dan mencuri. Setiap ibubapa adalah pemimpin kepada anak-anak mereka.

Hal ini demikian kerana mereka banyak terpengaruh dari rakan mereka sendiri sehingga mereka terjebak dalam kes jenayah . Kesannya ialah pembaziran masa kerana terlalu lama di cyber cafe, tidak ada kawalan keluarga dan berkembangbiaknya masalah serta gejala sosial di kalangan remaja.

3.  PERUBAHAN GAYA HIDUP DAN PENCEMARAN BAHASA

Perpatah Melayu ada menyebut:

“Yang Kurik Itu Kendi, Yang Merah Itu Saga”
“Yang Elok Itu Budi, Yang Indah Itu Bahasa”

     Pengaruh ICT yang menular dalam kehidupan moden hari ini jelas telah berjaya merubah paradigma sosiobudaya dan bahasa komunikasi. Penjajahan budaya hidup Barat dalam aspek pakaian, makanan, minuman, tingkahlaku, hiburan telah menukar jati diri manusia. Pakaian tradisonal setiap kaum dan bangsa hanya menjadi pakaian rasmi acara atau perayaan. Ia tidak lagi menjadi pakaian harian yang dibanggakan.

     Seperkara yang menarik dalam isu ICT ialah berlakunya tanpa disedari iaitu kerosakan bahasa. Bahasa sms dan chatting memerlukan tulisan yang ringkas dan mudah. Kesannya terbawa sehingga banyak pihak menerima pakai dalam komunikasi harian mereka terutama di kalangan anak remaja. Misalnya perkataan Assalamualaikum sudah diringkaskan dengan berbagai cara seperti Asm.,Akum, Aslam dan Salam mulai tersebar penggunaannya. Perkataan ini jelas tidak tepat dari susunan ejaan, kata-kata dan maknanya sendiri. Ianya jelas merosakkan penggunaan istilah, perkataan dan bahasa itu sendiri.

     Kesannya  taraf hidup di Malaysia, (khususnya di kawasan Bandar) umumnya seseorang yang berumur 13 tahun ke atas telah mempunyai tahap kematangan biologi yang mencukupi untuk menjadi seorang ibu atau bapa. Bermakna seseorang perempuan itu telah mampu mengandung dan melahirkan bayi, (telah timbul keinginan sex) tetapi dari segi sosial (dan keperluan sosial dan ekonominya) seseorang itu dalam konteks masyarakat Malaysia kini dia masih belum mampu. Dia masih memerlukan masa di antara 8-10 tahun lagi bagi menamatkan pengajian, mendapatkan pekerjaan yang sesuai (terjamin kewanganya) dan kemudiannya mendirikan keluarga. Dengan melayari gambar-gambar dan cerita-cerita seks (atau berunsur seks) ini boleh meningkatkan ransangan dan keinginan melakukan hubungan seks. Seseorang remaja bukan tidak mengetahui bahawa hubungan sex luar nikah adalah berdosa, risiko yang besar dan akan menghadapi kesan yang buruk bagi masa depannya, tetapi ketidak-seimbangan rohani, sosial dan keinginan biologinya menyebabkan seseorang itu terdorong melakukan hubungan kelamin luar nikah. Meningkatnya bilangan remaja berumur di antara 13-20 tahun yang sanggup melakukan hubungan sex dengan rela dipercayai mempunyai hubungan dengan sumber-sumber gambar/cerita daripada ICT yang berleluasa dan tidak terkawal. Ianya juga mempunyai hubungan dengan kes pembuangan bayi yang semakin berleluasa sejak kebelakangan ini.


KEPERLUAN ETIKA ISLAM DALAM PENGGUNAAN SIBER (ICT)

     Tidak dapat dinafikan bahawa satu standard etika yang syumul dan menyeluruh amat diperlukan pada zaman ini bagi mengawal dan “mengadapkan” manusia. Dengan satu harapan suci lagi murni, melahirkan umat Malaysia khususnya dan dunia amnya yang akan disegani kerana keluhuran budi dan akalnya.

     Nilai murni ialah nilai yang baik yang dapat membina keharmonian, kekuatan dan pembangunan individu serta masyarakat . Nilai ini perlu dikembangkan bagi membendung pelbagai krisis yang dihadapi oleh masyarakat. Antaranya termasuklah nilai kejujuran, kesetiaan, keadilan dan sebagainya. Dalam dunia siber ini, di mana Internet menjadi senjata utama manusia, maka amat perlu dipastikan mereka yang terlibat di dalam dalamnya sentiasa terpandu dengan nilai ini. Sebagai contoh seorang pengguna Internet wajar tahu setakat mana hak penggunaannya. Pembuat laman web mesti sedar apakah berita yang disebarkan itu akan menambah nilai kepada masyarakat atau sebaliknya. Pengamalan kepada nilai murni ini pastinya akan membimbing manusia ICT.


PENUTUP

     Malaysia sebagai sebuah negara yang aman dan makmur mestilah melengkapkan masyarakatnya dengan standard etika yang cemerlang bagi melayari alam siber yang penuh dengan cabaran dan dugaan. Islam sebagai agama yang membawa rahmat hendaklah dijadikan rujukan utama di dalam penggubalan standard etika kepenggunaan Internet, sesuai dengan ciri Islam itu sendiri yang membawa perubahan menyeluruh samada dari sudut sosial, ekonomi dan sebagainya.

     Penggunaan dan pengaruh dalam kehidupan masyarakat Malaysia kini sudah tidak dapat dipisahkan dengan ICT dalam banyak aspek kehidupan. Bagi mengelak atau mengurangkan kesan negatif dan menghancurkan nilai-nilai positif agama dan budaya masyarakat kita serta menjamin survival nilai-nilai positif masyarakat, semua pihak dan dari berbagai peringkat mestilah memainkan peranan mengukuhkan nilai agama, moral dan etika masyarakat kita, khususnya bagi generasi muda bagi mengelak daripada kesan negatif yang akan semakin parah.

     Kesan negatif sukar dihapuskan sepenuhnya, tetapi apa yang mungkin dapat dilakukan adalah tingkatkan kesan positif dan kurang kan kesan yang negatif. Dasar-dasar kerajaan berkaitan dengan pendidikan dan budaya mestilah juga meletakkan isu salah guna dan kesan negatif ICT ini sebagai suatu yang penting bagi pemodenan dan pembangunan Negara bangsa Malaysia.

No comments:

Post a Comment